TEL AVIV, 23 Jun - Puluhan ribu penunjuk perasaan rakyat Israel melaungkan slogan menentang kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu semalam.
Perhimpunan itu disifatkan sebagai perhimpunan terbesar bagi menuntut pilihan raya umum baharu.
Penunjuk perasaan turut membawa sepanduk yang tertera gambar Netanyahu dan tertulis 'Menteri Penjenayah' dan 'Hentikan peperangan'.
Mereka turut mendesak pembebasan tebusan yang diculik di Gaza pada 7 Oktober lalu.
Kontraktor berusia 66 tahun, Shai Erel menyifatkan kerajaan pimpinan bawah Netanyahu adalah mengerikan dan bimbang masa depan anak cucunya.
"Semua menikus di Knesset... Saya tidak akan membiarkan salah seorang daripada mereka menjadi pengawal tadika," katanya.
Pertubuhan protes antikerajaan, Hofshi Israel menganggarkan lebih 150,000 orang menghadiri perhimpunan itu, menyifatkan perhimpunan yang terbesar sejak konflik bermula pada 7 Oktober lalu.
Beberapa penunjuk perasaan berbaring di atas tanah dengan dilumuri cat merah di Dataran Demokrasi sebagai tanda protes 'kematian demokrasi negara itu', di bawah pimpinan Netanyahu.
Dalam ucapan kepada orang ramai, bekas ketua Agensi Keselamatan Shin Bet Domestik Israel, Yuval Diskin, mengutuk Netanyahu sebagai 'Perdana Menteri paling teruk' .
Ramai yang kecewa dengan gabungan sayap kanan negara itu termasuk Menteri Keselamatan, Itamar Ben Gvir dan ultra nasionalis sayap kanan lain, yang didakwa memanjangkan perang di Gaza dan meletakkan keselamatan negara dan tebusan dalam risiko.
Dalam pada itu, seorang pemandu pelancong dikenali Yoram, 50, berkata dia menghadiri setiap protes mingguan kerana merasakan Israel perlu mengadakan pilihan raya baharu disebabkan kelemahan pentadbiran Netanyahu.
"Saya sangat berharap kerajaan tumbang. Jika kita tunggu PRU yang hanya akan diadakan pada 2026, ia tidak akan menjadi PRU yang demokratik," katanya.
Israel percaya bahawa 116 rakyatnya masih berada di Gaza, termasuk 41 tentera yang dilaporkan sudah terkorban.
Sejak tercetusnya konflik pada 7 Oktober lalu, seramai 1,194 penduduk Israel maut dan 251 orang ditahan oleh kumpulan pejuang Hamas.
Manakala serangan balas Israel di Gaza telah membunuh 37,551 penduduk Palestin kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak - AFP