WASHINGTON, 13 Disember- Tentera Israel dilaporkan mula mengepam air laut ke dalam kompleks terowong Hamas di Gaza, lapor Wall Street Journal dan ABC News, semalam yang memetik sumber pegawai Amerika Syarikat (AS).
Wall Street Journal melaporkan, proses tersebut mungkin mengambil masa beberapa minggu, manakala ABC News pula melaporkan situasi terbabit berkemungkinan terhad memandangkan Israel sendiri meragui keberkesanan strategi itu.
Tentera Israel bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen lanjut mengenai laporan itu, malah jurucakap Kementerian Pertahanan Israel juga tidak menjawab permintaan untuk mengulas.
Beberapa pegawai pentadbiran Joe Biden berkata, proses itu boleh membantu memusnahkan terowong, di mana Israel percaya kumpulan berkenaan menyembunyikan tebusan, pejuang dan peluru.
Malah ia turut memetik pegawai berkata, kebimbangan kini adalah air laut akan membahayakan bekalan air tawar di Gaza.
Sebelum ini, Israel dilaporkan memasang sistem pam besar yang mungkin digunakan untuk membanjiri terowong Hamas di Semenanjung Gaza dengan air laut.
Sekitar pertengahan November, tentera Israel menyiapkan sekurang-kurangnya lima pam, kita-kira 0.4 kilometer (km) di utara kem pelarian Al-Shati.
Hamas sebelum ini berkata ia menyembunyikan tebusan di 'tempat selamat dan terowong'. -REUTERS