TEHRAN, 7 Mei- Iran menyuarakan kebimbangan mendalam berhubung konflik yang semakin memuncak antara India dengan Pakistan.
Jurucakap Kementerian Luar Negeri, Esmaeil Baqaei menyifatkan insiden berbalas tembakan antara dua negara jiran bersenjata nuklear itu, sebagai keganasan terburuk dalam tempoh dua dekad.
"Iran menyeru kedua-dua pihak agar menghentikan serangan dengan segera," tegasnya.
Iran, yang bersempadan dengan Pakistan dan mengekalkan hubungan baik dengan India, telah menawarkan diri untuk menjadi pengantara, sejak bulan lalu.
Sementara itu, Turkiye memberi amaran tentang risiko "perang habis-habisan" antara India dengan Pakistan.
Kementerian Luar dalam kenyataan menegaskan, serangan peluru berpandu maut yang dilancarkan malam tadi oleh India berisiko mencetuskan ketegangan yang lebih meluas.
"Turkiye mengecam tindakan provokatif ini serta serangan yang menyasarkan infrastruktur dan orang awam," menurut kenyataan itu. - AFP