fb fb fb fb fb

Indonesia rancang ampun banduan Papua termasuk pemberontak pemisah

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto / REUTERS

JAKARTA, 22 Januari- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sedang mempertimbangkan pengampunan untuk banduan yang dikaitkan dengan organisasi bersenjata di wilayah timur paling bergolak, Papua termasuk pemisah, dengan syarat mereka meninggalkan keganasan dan agenda pemisahan.

Menteri Kanan bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Yusril Ihza Mahendra berkata, Prabowo merancang untuk memberikan amnesti (pengampunan) kepada mereka yang telah disabitkan kesalahan dan sedang menunggu perbicaraan sekiranya mereka bersumpah setia kepada negara Indonesia dan menghentikan semua aktiviti yang bertujuan memisahkan Papua dari Indonesia.

Jelasnya, kerajaan sedang menyusun senarai individu yang layak. Kebanyakan kumpulan jenayah bersenjata di wilayah Papua berkait rapat dengan pemberontak pemisah.

"Ia akan menjadi harapan baru bagi kami dalam mencari penyelesaian di Papua," tambah Yusril.

Pertempuran untuk kemerdekaan telah berlaku di pulau Papua yang kaya dengan sumber sejak ia berada bawah kawalan Indonesia melalui referendum yang dipertikaikan dan diawasi oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu pada tahun 1969 selepas tamatnya penjajahan Belanda.

Ramai rakyat Papua mengatakan keputusan itu tidak benar-benar mencerminkan sentimen tempatan. Pasukan keselamatan Indonesia sejak itu mengawal ketat wilayah tersebut dan telah dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, pemisah dilaporkan dilengkapkan dengan senjata yang lebih baik, termasuk yang diperoleh melalui serbuan di pos tentera atau dari pasaran gelap.

Mereka juga menculik warga asing, termasuk seorang juruterbang New Zealand yang dibebaskan tahun lalu selepas ditahan selama 19 bulan.

Polis pada Ogos lalu mengatakan seorang lagi warga New Zealand telah dibunuh oleh pemberontak apabila dia mendaratkan helikopter di kawasan terpencil.

Prabowo merancang untuk memberikan pengampunan kepada 44,000 banduan, termasuk pesalah dadah dan aktivis yang dipenjarakan di Papua kerana mengkritik kerajaan.

Beliau sebelum ini mengatakan mungkin membenarkan mereka yang terlibat dalam rasuah terlepas hukuman jika mereka memulangkan apa yang mereka curi.

Beliau juga sedang mempertimbangkan parol untuk dua bekas pemimpin rangkaian militan Jemaah Islamiyah serta amnesti untuk anggota-anggotanya yang dipenjarakan.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE