NEW DELHI, 30 Oktober - India dan China telah menyelesaikan proses penarikan tentera mereka dari dua titik ketegangan di sempadan Himalaya yang dipertikaikan, menurut kenyataan seorang pegawai pertahanan India pada Rabu.
Perkembangan itu berlaku susulan perjanjian yang dicapai minggu lalu antara dua negara berjiran tersebut mengenai rondaan di sempadan Ladakh, India, bertujuan mengakhiri ketegangan ketenteraan yang telah berlangsung selama empat tahun.
Langkah itu dilihat membuka jalan bagi peningkatan hubungan politik dan perniagaan dua hala.
Proses penarikan yang bermula minggu lalu kini telah selesai, dengan proses pengesahan sedang dijalankan, jelas pegawai tersebut kepada Reuters.
Tentera dari kedua-dua negara juga dijangka bertukar manisan esok sebagai tanda muhibah, sebelum rondaan di sempadan dimulakan setelah komander di lapangan memuktamadkan kaedah-kaedah operasi.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan dari pihak Beijing mengenai penarikan tentera tersebut.
Sempadan sepanjang kira-kira 4,000 kilometer yang kebanyakannya tidak ditanda di kawasan Himalaya telah menjadi sumber ketegangan antara India dan China selama beberapa dekad, termasuk menyebabkan perang singkat tetapi berdarah pada tahun 1962.
Empat tahun lalu, pertempuran di sempadan itu telah mengorbankan 20 tentera India dan empat tentera China.
Kedua-dua negara kemudian menghentikan rondaan di beberapa titik sempadan di Ladakh untuk mengelakkan konfrontasi lanjut dan telah menambah bilangan tentera serta peralatan ketenteraan di kawasan pergunungan yang sejuk itu.
Selepas beberapa siri penarikan tentera di lima titik ketegangan, penarikan terbaharu ini merupakan yang pertama dalam tempoh lebih dua tahun.
Dalam usaha memperbaiki hubungan dua hala, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri India, Narendra Modi turut mengadakan perbincangan rasmi pertama mereka dalam tempoh lima tahun di luar Sidang Kemuncak BRICS di Rusia.
Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk meningkatkan komunikasi dan menyelesaikan konflik bagi membina semula hubungan diplomatik yang lebih baik.
Pemulihan hubungan ini dijangka dapat membantu meningkatkan hubungan ekonomi antara dua negara yang sebelum ini terjejas akibat ketegangan sempadan.
Namun, pegawai India menegaskan bahawa New Delhi akan meneruskan langkah ini dengan berhati-hati memandangkan defisit kepercayaan yang masih wujud.-REUTERS