SANAA, 5 Februari- Kumpulan Houthi di Yaman tidak gentar dengan serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Britain ke atas pihaknya di Laut Merah.
Malah, pihak itu berikrar akan bertindak balas terhadap sekutu penjajah Israel tersebut.
Tambah Houthi, serangan terbabit tidak sesekali menghalangnya untuk terus menyasarkan sekutu zionis yang melalui perairan berkenaan.
Ia sebagai 'tekanan' kepada Israel supaya menghentikan serangannya di bumi Gaza yang membunuh lebih 27,000 penduduk, kebanyakkannya kanak-kanak dan wanita.
Jurucakap Houthi, Yahya Saree berkata, sejumlah 48 serangan udara dilancarkan musuh di sini dan kawasan lain.
"Serangan ini tidak akan menghalang kami, pendirian kami adalah teguh dalam menyokong rakyat Palestin di Gaza. (Ia) tidak akan berlalu tanpa tindak balas dan hukuman", tegasnya.
Terbaharu, tentera AS melaporkan pihaknya melancarkan serangan udara ke atas Houthi, semalam.
Ia mendakwa lima peluru berpandu dilepaskan dengan satu daripadanya menyasarkan daratan Yaman.
Serangan terbabit adalah pusingan ketiga dalam aksi ketenteraan AS di Laut Merah. -AFP