fb fb fb fb fb

Houthi serang kapal dagang Eternity C demi solidariti Gaza

Jurucakap tentera Kumpulan Houthi, Yahya Saree.

SANAA, 10 Julai - Kumpulan Houthi di Yaman mengaku bertanggungjawab terhadap serangan maut ke atas sebuah kapal dagang di Laut Merah awal minggu ini. Ia menjadikannya insiden kedua dalam tempoh kurang 24 jam.

Jurucakap tentera Kumpulan Houthi, Yahya Saree dalam kenyataan yang disiarkan oleh Pusat Media Ansarullah memaklumkan, serangan tersebut menyasarkan kapal ETERNITY C yang sedang menuju ke pelabuhan Umm al-Rashrash (Eilat) di wilayah yang diduduki Israel.

“Pasukan tentera laut Angkatan Bersenjata Yaman telah menyerang kapal ETERNITY C ketika ia menuju ke pelabuhan Eilat di Palestin yang diduduki,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa sepasukan khas dari Tentera Laut Yaman digerakkan selepas operasi bagi menyelamatkan beberapa anak kapal, memberikan rawatan perubatan serta memindahkan mereka ke lokasi selamat.

Menurut laporan antarabangsa, kapal tersebut tenggelam akibat serangan itu, menjadikannya antara insiden paling serius dalam siri ancaman terhadap laluan perkapalan di perairan strategik Laut Merah.

Kumpulan Houthi menyatakan bahawa tindakan itu sebagai solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza susulan konflik yang berterusan dengan israel.

TUN JULIA MOHD TAHIR