BEIRUT, 4 Ogos- Kumpulan Hezbollah di Lubnan melancarkan berpuluh-puluh serangan balas menggunakan roket 'Katyusha' ke atas kawasan pendudukan haram Israel di bahagian utara.
Serangan terbaharu itu disasarkan di Beit Hillel susulan serangan zionis di Kfar Kela dan Deir Siriane di Lubnan yang telah mencederakan orang awam.
Sementara itu, Perancis hari ini menyeru rakyatnya di Lubnan agar meninggalkan negara itu secepat mungkin atas faktor keselamatan.
"Kami sekali lagi meminta perhatian warga Perancis... bahawa penerbangan komersial terus dan penerbangan persinggahan ke Perancis masih tersedia.
"Justeru, kami mohon mereka buat persediaan segera untuk meninggalkan Lubnan secepat mungkin," menurut Kementerian Luar Perancis dalam kenyataan. -AFP