MANILA, 4 Ogos- Filipina dan Jerman komited untuk memuktamadkan pengaturan kerjasama pertahanan yang lebih luas, kata menteri pertahanan mereka dalam satu kenyataan bersama pada Ahad.
Menteri Pertahanan Jerman, Boris Pistorius bertemu dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Gilberto Teodoro di Manila untuk meningkatkan kerjasama antara negara-negara yang meraikan 70 tahun hubungan diplomatik.
Para menteri komited untuk menjalin hubungan jangka panjang antara angkatan tentera mereka bagi mengembangkan latihan dan pertukaran dua hala, meneroka peluang kerjasama persenjataan selain melibatkan diri dalam projek bersama.
Manila dan Berlin mengeratkan hubungan ketenteraan apabila ketegangan telah memuncak dalam beberapa bulan kebelakangan ini antara China dan Filipina.
Ia susulan tuduhan berhubung penyerangan di kawasan yang dipertikai di Laut China Selatan, termasuk tuduhan China dengan sengaja merempuh bot tentera laut Manila yang mencederakan seorang tentera laut Filipina.
China menuntut kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan termasuk kawasan yang didakwa sebagai zon ekonomi eksklusif oleh Vietnam, Filipina, Malaysia, Brunei dan Indonesia.
Pada 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague berkata tuntutan Beijing tidak mempunyai asas undang-undang.
Bagaimanapun, China telah menolak keputusan tersebut.
"Teodoro dan Pistorius mengesahkan bahawa keputusan tribunal antarabangsa mengenai Laut China Selatan adalah muktamad dan mengikat di sisi undang-undang," menurut kenyataan bersama itu.
Jerman pada Jumaat menyertai Komando Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Korea Selatan, menjadi negara ke-18 dalam kumpulan yang membantu mengawal sempadan berkubu kuat dengan Korea Utara dan komited untuk mempertahankan Selatan, sekiranya berlaku perang.
Pistorius berkata langkah itu adalah bukti keyakinan kuat Berlin bahawa keselamatan Eropah berkait rapat dengan keselamatan di rantau Indo-Pasifik.
Amerika Syarikat dan rakan kongsinya sedang mengembangkan pakatan dan perkongsian, termasuk yang merentangi dunia.
China telah menyatakan kebimbangan mengenai hubungan yang semakin meningkat antara anggota NATO dan negara-negara Asia seperti Jepun, Korea Selatan dan Filipina.- REUTERS