fb fb fb fb fb

Hezbollah lancar lebih 320 roket Katyusha ke arah Israel

Roket yang dilepaskan dari selatan Lubnan dipintas oleh sistem pertahanan udara Kubah Besi Israel di wilayah Upper Galilee di utara Israel, pada 4 Ogos 2024, di tengah-tengah pertempuran rentas sempadan yang berterusan antara tentera Israel dan pejuang Hezbollah/ AFP

BEIRUT, 25 Ogos- Hezbollah berkata mereka telah melakukan serangan berskala besar dengan melancarkan lebih 320 roket ke arah Israel pada malam Ahad sebagai "tindak balas awal" terhadap pembunuhan komander tertinggi, ketika tentera Israel menyatakan mereka sedang melancarkan serangan awal terhadap kumpulan pejuang berkenaan.

"Jumlah roket Katyusha yang dilancarkan sehingga kini melebihi 320... ke arah kedudukan musuh," kata kenyataan Hezbollah, sambil menambah bahawa mereka telah mensasarkan 11 pangkalan dan kem tentera Israel.

Hezbollah berkata "fasa pertama telah tamat dengan kejayaan keseluruhan", sambil menambah bahawa fasa itu bertujuan 'mensasarkan kem dan kedudukan tentera Israel bagi memudahkan laluan dron serangan ke arah sasaran' ke dalam Israel.

Sementara itu, pihak berkuasa Lubnan memaklumkan bahawa serangan Israel telah membunuh lapan orang, termasuk seorang kanak-kanak, di daerah selatan pada Jumaat.

Hezbollah pula menyatakan tujuh orang yang lain yang terkorban adalah pejuang.

Ia adalah angka korban tertinggi dalam satu hari bagi Hezbollah yang disokong oleh Iran sejak mereka berbalas tembakan merentasi sempadan dengan Israel.

Kementerian Kesihatan berkata bahawa satu "serangan dron musuh Israel" telah membunuh dua orang termasuk seorang "kanak-kanak berumur tujuh tahun" di Aita al-Jabal, dan serangan "Israel" lain telah membunuh enam orang di empat tempat lain di selatan.

Agensi Berita Nasional Lubnan yang dikendalikan oleh kerajaan berkata sebuah "dron musuh" telah mensasarkan sebuah rumah di Aita al-Jabal dengan "dua peluru berpandu."

Hezbollah mendakwa telah melancarkan 13 serangan ke atas kedudukan Israel sepanjang hari, termasuk beberapa "tembakan roket."

Tentera Israel berkata antara 90 dan 100 peluru dikesan merentasi dari Lubnan ke utara Israel sebahagiannya berjaya dipintas.

Tentera Israel berkata pesawatnya telah "menghapuskan" anggota "sel pengganas yang merancang untuk menembak peluru dari kawasan Tayr Harfa."

Sumber yang rapat dengan Hezbollah memberitahu AFP tiga pejuang kumpulan tersebut terbunuh dalam serangan itu.

Keganasan rentas sempadan sejak Oktober telah membunuh lebih 600 orang di Lubnan, kebanyakannya pejuang Hezbollah termasuk sekurang-kurangnya 131 orang awam, menurut pengiraan AFP.

Di pihak Israel, pihak berkuasa telah mengumumkan kematian sekurang-kurangnya 23 tentera dan 26 orang awam, termasuk di Dataran Tinggi Golan.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI