fb fb fb fb fb

Harris seru kawalan imigresen, langkah tegas fentanil

Foto Reuters

DOUGLAS, 28 September - Naib Presiden Demokrat, Kamala Harris, melawat sempadan Amerika Syarikat (AS)-Mexico buat pertama kali dalam kempen presidennya pada 2024, pada Jumaat.

Beliau menyeru agar sekatan suaka diperketatkan dan menjadikan usaha menghentikan kemasukan fentanyl ke AS sebagai "keutamaan tertinggi."

Berucap di Douglas, Arizona, Harris mengkritik Donald Trump, pesaing Republikan, atas kenyataan yang didakwanya "mengapi-apikan ketakutan" terhadap pendatang.

Harris juga menyokong tindakan lebih keras terhadap mereka yang menyeberangi sempadan secara haram dan menyeru hukuman jenayah lebih berat terhadap pesalah berulang.

"Saya akan mengambil tindakan lanjut untuk menutup sempadan antara pintu masuk. Mereka yang melanggar undang-undang sempadan akan ditahan dan diusir serta dilarang masuk semula selama lima tahun," kata Harris.

Beliau turut menekankan pentingnya membentuk sistem imigresen yang selamat dan berperikemanusiaan.

Penahanan pendatang di sempadan AS-Mexico telah mencapai rekod 7 juta sepanjang pentadbiran Biden. Walaupun begitu, jumlah penyeberangan sempadan haram menurun selepas Biden mengumumkan larangan suaka tahun ini.

Harris juga menerima taklimat mengenai usaha penguatkuasaan dadah di sempadan dan teknologi pemeriksaan untuk merampas 'fentanil' iaitu bahan terlarang yang sering disalahgunakan.

Fentanil telah menjadi punca utama kematian rakyat Amerika berusia 18 hingga 45 tahun, dengan lebih 107,000 kematian akibat pengambilan dos yang berlebihan pada 2023.

Trump menyalahkan Harris atas peningkatan migrasi tidak teratur, menyifatkannya sebagai "arkitek kemusnahan". Trump turut mendakwa Harris menjadikan bandar-bandar kecil di AS sebagai "kem pelarian."

Isu imigresen kekal sebagai topik utama bagi pengundi, terutamanya di Arizona, sebuah negeri pilihan raya yang dipertandingkan hebat dengan populasi pengundi Amerika Latin yang tinggi.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN