fb fb fb fb fb

Hari ke-168 konflik Israel-Hamas: Lebih 32,000 rakyat Palestin terkorban

Foto AFP

GAZA, 23 Mac– Lebih 32,000 penduduk Palestin terkorban sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober lalu.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, Kementerian Kesihatan berkata angka korban penduduk Palestin meningkat kepada 32,070 orang dan seramai 74,298 rakyat Palestin cedera dalam serangan berterusan tentera Israel.

Majoriti mangsa adalah wanita dan kanak-kanak. Lebih ramai dikhuatiri mati terperangkap di bawah runtuhan.

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, pasukan pendudukan Israel melakukan sembilan kes “pembunuhan beramai-ramai” di Gaza, yang mengorbankan 82 orang penduduk Gaza dan 110 yang lain cedera.

Sementara itu, pasukan penyelamat dan kesihatan masih tidak dapat mengeluarkan banyak mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya disebabkan tentera Israel terus menghalang pergerakan petugas penyelamat.

Kira-kira 1.5 juta penduduk Palestin kini bersesak di Rafah, yang menjadi tempat terakhir untuk mereka berlindung daripada serangan Israel.

Dalam pada itu, WAFA turut melaporkan pesawat tentera Israel melancarkan beberapa siri serangan udara yang menyasarkan beberapa bandar di selatan Lubnan.

Pesawat perang itu melakukan serangan udara yang menyasarkan bandar Ayta al-Shaab, Al-Khiyam dan Al-Taybeh. Selain itu, artileri Israel menyasarkan bandar Mari, Aitaroun dan Houla.

 

ROSLINA BINTI DIN