fb fb fb fb fb

Hamas sambut baik resolusi Majlis Keselamatan PBB seru gencatan senjata di Gaza

Seorang lelaki Palestin memegang tangan budak lelaki yang terbunuh dalam pengeboman Israel di Hospital Syahid Al-Aqsa di Nuseirat pada 27 Mei lalu/AFP

GAZA, 11 Jun- Pergerakan Hamas semalam mengumumkan bahawa ia menyambut baik resolusi yang diterima pakai oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan menyokong perjanjian gencatan senjata menyeluruh untuk menamatkan konflik di Gaza, lapor Xinhua.

Hamas dalam satu kenyataan menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan pengantara untuk terlibat dalam rundingan tidak langsung bagi melaksanakan prinsip resolusi "yang konsisten dengan tuntutan rakyat dan perjuangan kumpulan itu," termasuk gencatan senjata secara kekal di Gaza, pengunduran sepenuhnya tentera Israel, pertukaran tawanan dan tahanan serta pembinaan semula Gaza.

Pergerakan itu mengulangi komitmennya untuk meneruskan "usaha dan perjuangan" bagi hak rakyat Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas turut memuji penerimaan resolusi itu sebagai langkah ke arah yang betul untuk menghentikan konflik yang sedang berlangsung di Gaza, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

Mahmoud juga menyeru semua pihak untuk memenuhi tanggungjawab mereka bagi melaksanakan resolusi itu.

Semalam di New York, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi yang bertujuan mencapai perjanjian gencatan senjata menyeluruh dalam tiga fasa untuk menamatkan konflik di Gaza.

Resolusi 2735 diluluskan dengan majoriti besar iaitu 14 undian menyokong dan Rusia berkecuali, menggesa kedua-dua pihak yang terlibat dalam konflik untuk melaksanakan sepenuhnya syarat cadangan tersebut "tanpa berlengah dan tanpa syarat". -BERNAMA-XINHUA

SITI AISHAH MD ISA