fb fb fb fb fb

Gunung berapi Shinmoedake meletus, amaran tahap dua

Gunung berapi Shinmoedake, Jepun / Foto Reuters

TOKYO, 23 Jun - Gunung berapi Shinmoedake yang terletak dalam kawasan banjaran gunung di sempadan Wilayah Kagoshima dan Miyazaki, Jepun, meletus pada Ahad, merupakan letusan pertamanya sejak 2018.

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) melaporkan letusan berlaku sekitar 4.37 petang waktu tempatan, dengan plum abu mencecah lebih 500 meter di atas kawah.

Asap dilaporkan bergerak ke arah timur menuju Wilayah Miyazaki, dan setakat ini tiada batu gunung berapi yang disahkan jatuh, menurut penyiar nasional NHK.

Amaran gunung berapi Tahap Dua, mengehadkan kemasukan berhampiran kawah, kekal berkuat kuasa di kawasan berkenaan.

Pihak berkuasa menggesa orang ramai berwaspada dalam radius dua kilometer dari kawasan kawah kerana risiko batu gunung berapi besar dan aliran piroklas dalam lingkungan kira-kira satu kilometer.

Penduduk dinasihatkan untuk terus berwaspada, terutama di kawasan bawah angin, kerana abu dan batu kecil mungkin dibawa angin, meskipun berada pada jarak jauh dari kawasan letusan. -REUTERS

AZRUL FAIZAL JUSOH