BEIRUT, 11 Julai-Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah pada Rabu berkata kumpulan berkenaan menerima segala keputusan yang dilakukan Hamas berhubung rundingan gencatan senjata.
Nasrallah juga berkata Hezbollah akan turut menghentikan serangan merentasi sempadan terhadap Israel sekiranya rundingan tersebut mencapai kesepakatan.
"Hamas sedang berunding bagi semua pihak penentang", kata Nasrallah merujuk kepada pro-Iran yang menentang Israel dan Amerika Syarikat (AS).
"Kita menyetujui dan menerima apa yang diputuskan oleh Hamas.
"Kami tidak meminta Hamas untuk berhubung dengan pihak kami, memandangkan pertempuran ini adalah pertempuran mereka", tambah Nasrallah.
Kenyataan pemimpin Hezbollah itu hadir selepas pertemuannya dengan delegasi Hamas yang diketuai oleh ketua hubungan antarabangsa Hamas, Khalil al-Hayya.
Rundingan berkaitan pembebasan tebusan dan gencatan senjata di Gaza akan bersambung semula di Qatar.
Hamas memberi isyarat bahawa ia bakal menggugurkan desakan untuk gencatan senjata lengkap" yang berulang kali ditolak oleh Israel sebagai syarat untuk memulakan rundingan gencatan senjata.
Nasrallah turut mengulangi pendirian bahawa pasukan Hezbollah akan turut sama mengadakan gencatan senjata sekiranya rundingan tersebut berjaya.
"Itu adalah komitmen, kerana ia adalah barisan sokongan dan kami telah jelas (mengenai perkara ini) dari awal lagi," katanya, semasa ucapan di televisyen memperingati seorang komander kanan Hezbollah yang terkorban dalam serangan Israel minggu lalu.
Bagaimanapun, Nasrallah memberi amaran bahawa kumpulannya tidak sekali-kali membenarkan sebarang serangan dilakukan Israel terhadap Lubnan walaupun berlaku gencatan senjata di Gaza.-AFP