GAZA CITY, 11 Oktober - Ribuan penduduk Gaza mula berjalan pulang ke kawasan utara yang musnah teruk dalam serangan Israel sejak 7 Oktober 2023.
Gencatan senjata memasuki hari kedua dengan rejim Zionis Israel mula berundur, menandakan detik bersejarah selepas dua tahun serangan tanpa henti di Gaza.
Di tengah runtuhan bangunan dan debu yang belum reda, penduduk Palestin membawa harapan baharu agar inilah pengakhiran kepada penderitaan mereka.
“Kami hanya berharap ini yang terakhir, terakhir bagi kesakitan dan kehilangan,” kata Amer Madhoun, penduduk Gaza City yang kehilangan sepupunya akibat serangan dron Israel pada Khamis.
Gencatan senjata yang diumumkan tengah hari Jumaat waktu tempatan adalah sebahagian daripada pelan damai yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Pelan damai itu termasuk perjanjian pembebasan 47 tebusan Israel dan 1,950 tahanan Palestin.
Sebaik gencatan bermula, berpuluh ribu penduduk Palestin yang keletihan mula bergerak dari Khan Yunis ke Gaza City, membawa barangan seadanya untuk pulang ke rumah yang musnah.
Jurucakap pertahanan awam Gaza, Mahmud Bassal, mengesahkan sekitar 200,000 penduduk sudah kembali ke kawasan utara.
“Kami pulang dengan luka dan kesedihan, tapi kami bersyukur kerana serangan ini akhirnya berhenti,” kata Ameer Abu Iyadeh, 32 tahun, di Khan Yunis.
Walaupun banyak rumah musnah, semangat untuk membina semula kehidupan terserlah di wajah mereka.
“Saya hanya berdoa rumah saya masih berdiri... Kami mahu kedamaian yang kekal, agar kami tidak perlu melarikan diri lagi,” ujar Mohammed Mortaja, 39 tahun.
Dalam kenyataannya, Pejuang Hamas menyifatkan perjanjian itu sebagai kejayaan rakyat Palestin menentang usaha pengusiran Israel.
Hamas berjanji akan terus memantau pelaksanaan gencatan senjata secara bertanggungjawab. - AFP