SAN SALVADOR, 19 Julai- Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud di luar pantai Amerika Tengah menggegarkan El Salvador, Honduras dan Nicaragua pada Selasa.
Menurut pihak berkuasa Salvador, tiada kerosakan dilaporkan akibat gegaran itu.
Gempa itu dilaporkan pada 6.22 petang waktu tempatan di Lautan Pasifik, kira-kira 66 kilometer di selatan pantai Salvador, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
USGS pada asalnya merekodkan gempa bumi pada kekuatan 6.5 magnitud, bagaimanapun Kementerian Alam Sekitar Salvador mengeluarkan bacaan kemas kini mencatatkan 6.8 magnitud.
"Berdasarkan data yang disemak, masih tiada ancaman tsunami untuk El Salvador," katanya di Twitter.
Tentera Salvador menyatakan gempa bumi berasal dari titik pertembungan plat tektonik Cocos dan Caribbean.
Pihak berkuasa perlindungan awam Salvador melaporkan mereka memantau kerosakan di kawasan berbeza di negara itu.
Penyelaras amaran awal untuk Suruhanjaya Kontingensi Tetap di Honduras, Juan Jose Reyes, memberitahu pemberita bahawa gempa bumi itu dirasai "di seluruh negara". Paling kuat dirasai berhampiran Teluk Fonseca perairan yang dikongsi dengan El Salvador dan Nicaragua.
Amerika Tengah mencatatkan jumlah aktiviti seismik yang tinggi kerana berada di Lingkaran Api Pasifik, dan merupakan kawasan yang banyak gunung berapi.- AFP
(Foto hiasan)