fb fb fb fb fb

Gaza rekod kes polio pertama dalam tempoh 25 tahun

Foto Fail/ AFP

GAZA, 17 Ogos- Semenanjung Gaza merekodkan kes polio pertama jangkitan virus polio dalam tempoh 25 tahun pada Jumaat, ketika wilayah itu terus bergelut dengan konflik yang berpanjangan.

Kementerian Kesihatan Palestin yang berpangkalan di Ramallah memaklumkan bahawa seorang bayi berusia 10 bulan di Deir al-Balah, disahkan positif virus polio setelah menjalani ujian di Jordan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Gaza, kini dalam perang bulan ke-11, tidak mencatatkan kes polio selama 25 tahun, walaupun virus polio jenis 2 dikesan dalam sampel yang dikumpul dari air sisa wilayah itu pada bulan Jun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebelum konflik tercetus pada Oktober 2023, wilayah itu bebas dari polio selama 25 tahun.

"Doktor mengesyaki kehadiran simptom yang konsisten dengan polio. Selepas menjalankan ujian yang diperlukan di Amman, Jordan jangkitan itu disahkan,"kata kementerian kesihatan.

Kementerian itu memaklumkan pasukan mereka di Gaza dan Tebing Barat, dengan kerjasama organisasi antarabangsa, bekerja keras sejak beberapa minggu lepas untuk membangunkan pelan komprehensif bagi kempen vaksinasi polio yang diperluas di Semenanjung Gaza.

Pada Jumaat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengumumkan bahawa pihaknya akan melancarkan kempen dua fasa untuk memberi suntikan vaksin kepada lebih 640,000 kanak-kanak di Gaza yang berumur di bawah 10 tahun bermula pada akhir Ogos.

WHO meluluskan pengeluaran 1.6 juta dos vaksin polio dan Tabung Kanak-Kanak PBB sedang menyelaraskan usaha penghantaran dan peralatan yang diperlukan untuk penyimpanan, menurut PBB.

Poliovirus, paling kerap merebak melalui kumbahan dan air yang tercemar.

Ia boleh menyebabkan kecacatan dan lumpuh serta boleh membawa maut dan memberi kesan terutamanya kepada kanak-kanak di bawah umur lima tahun.

Sementara itu, Hamas dalam satu kenyataan menyatakan sokongan terhadap seruan PBB pada Jumaat untuk gencatan senjata selama tujuh hari bagi memvaksin ribuan kanak-kanak dan menuntut penghantaran ubat-ubatan dan makanan kepada lebih dua juta rakyat Palestin yang terperangkap di wilayah itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI