fb fb fb fb fb

EU gesa China desak Rusia berundur dari Ukraine

(Wakil Khas China untuk Hal Ehwal Eurasia, Li Hui/AFP)

BRUSSELS, 26 Mei- Kesatuan Eropah meminta China agar mendesak Rusia menghentikan pertumpahan darah di Ukraine dan berundur dari negara itu.

Perkara itu disampaikan Timbalan Setiausaha Agung Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah, Enrique Mora dalam pertemuan dengan Wakil Khas China untuk Hal Ehwal Eurasia, Li Hui di ibu pejabat EU di sini.

“Kedua-dua pihak membincangkan pencerobohan Rusia di Ukraine dan cara untuk menggalakkan keamanan yang adil dan mampan,” menurut kenyataan EU.

Dalam pertemuan itu Mora menegaskan bahawa Ukraine menggunakan haknya untuk mempertahankan diri dan EU komited untuk menghulurkan sokongan jangka panjang kepada Ukraine.

Sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu, China diharap dapat mendesak Rusia supaya menarik balik semua pasukan dan peralatan ketenteraan dari seluruh wilayah Ukraine dengan kadar segera dan tanpa syarat.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus berhubung dan terus berusaha ke arah keamanan yang mampan di Ukraine," menurut kenyataan itu lagi.

Li Hui dijadualkan berlepas ke Moscow pada hari Jumaat ini. -AFP

(Timbalan Setiausaha Agung Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah, Enrique Mora/Wikipedia)

Media Baharu