fb fb fb fb fb

EU gantung sementara bantuan makanan di Somalia

(FOTO AFP)

NAIROBI, 19 September - Eksekutif Kesatuan Eropah telah menggantung sementara pembiayaan untuk Program Makanan Sedunia (WFP) di Somalia, kata pegawai kanan EU kepada Reuters pada Isnin, selepas siasatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mendapati kecurian dan penyalahgunaan bantuan, yang bertujuan untuk mengelakkan kebuluran.

Suruhanjaya Eropah memberikan bantuan lebih $7 juta kepada operasi WFP di Somalia tahun lalu, sebahagian kecil daripada lebih $1 bilion yang diterima dalam jumlah derma, menurut data PBB.

Kebanyakan negara anggota EU memberi bantuan dalam bentuk wang secara dua hala namun tidak dapat dipastikan sama ada terdapat pihak-pihak yang turut mengantung bantuan tersebut.

(FOTO AFP)

Balazs Ujvari, jurucakap Suruhanjaya Eropah tidak mengesahkan atau menafikan secara khusus penggantungan sementara tetapi berkata “Setakat ini, EU belum dimaklumkan oleh rakan kongsi PBBnya tentang kesan kewangan ke atas projek yang dibiayai EU.

“Walau bagaimanapun, kami akan terus memantau keadaan dan mematuhi pendekatan toleransi sifar kami terhadap penipuan, rasuah atau salah laku,” katanya.

WFP belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.

Seorang pegawai kanan EU berkata keputusan itu diambil selepas penyiasatan PBB menyimpulkan bahawa pemilik tanah, pihak berkuasa tempatan, anggota pasukan keselamatan dan pekerja kemanusiaan semuanya terlibat dalam mencuri bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Seorang Pegawai yang tidak mahu namanya disiarkan berkata bantuan akan dipulihkan selepas WFP memenuhi syarat tambahan, termasuk menapis beberapa rakan kongsi yang berada di Somalia.

Menurut sumber ketiga yang juga seorang pegawai EU berkata Suruhanjaya itu "bekerjasama secara aktif dengan WFP untuk menyelesaikan kecacatan sistemik" tetapi berkata tiada bantuan digantung ketika ini.

Laporan pada 7 Julai, yang ditandakan sebagai "sangat sulit," telah ditugaskan oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menurut salinan yang disemak oleh Reuters.

Kandungan laporan itu mula diterbitkan pada Isnin oleh Devex, sebuah saluran media yang memberi tumpuan kepada pembangunan antarabangsa.

Laporan memetik, orang pelarian dalaman (IDP) sebagai berkata mereka dipaksa membayar sehingga separuh daripada bantuan tunai yang mereka terima kepada orang yang mempunyai jawatan dalam menghadapi ancaman pengusiran, penangkapan atau pembatalan pendaftaran daripada senarai penerima.-REUTERS

Media Baharu