fb fb fb fb fb

Erdogan puji langkah berani ICC keluar waran tangkap terhadap Netanyahu

FOTO AFP

ISTANBUL, 23 November- Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, pada Sabtu memuji keputusan "berani" Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas menteri pertahanan Yoav Gallant.

"Kami menyokong waran tangkap ini. Kami menganggap penting agar keputusan berani ini dilaksanakan oleh semua negara anggota perjanjian untuk memulihkan kepercayaan manusia terhadap sistem antarabangsa," kata Erdogan dalam satu ucapan di Istanbul.

ICC mengeluarkan waran tersebut pada Khamis terhadap pemimpin Israel dan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif, atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang dalam konflik Gaza.

"Adalah penting bagi negara-negara Barat yang selama bertahun-tahun memberikan dunia pelajaran tentang undang-undang, keadilan, dan hak asasi manusia untuk menunaikan janji mereka dalam tahap ini," tambah Erdogan, walaupun Turkiye bukan merupakan anggota perjanjian ICC.

Erdogan telah menjadi pengkritik keras terhadap Israel sejak permulaan kempen ketenteraan Israel di Gaza pada Oktober 2023.

Beliau telah beberapa kali berikrar untuk memastikan Netanyahu dibawa ke muka pengadilan berhubung tindakan ketenteraan Israel di wilayah Palestin tersebut.

Bulan ini, Turkiye bersama 52 negara lain menghantar surat kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menuntut penghentian penjualan dan penghantaran senjata kepada Israel.- AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE