JOHANNESBURG, 24 November – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan memaklumkan akan menghubungi Presiden Rusia Vladimir Putin menerusi panggilan telefon pada Isnin, hanya beberapa hari selepas Amerika Syarikat (AS) mendedahkan pelan kontroversi untuk menamatkan perang Ukraine.
“Esok saya akan membuat panggilan telefon dengan Putin,” katanya pada sidang media di sidang kemuncak G20 di Afrika Selatan pada Ahad.
Kenyataan berkenaan dibuat selepas Kiev dan sekutunya menolak draf pelan AS yang menerima sebahagian tuntutan Moscow.
Presiden AS Donald Trump sebelum ini memberi Ukraine sehingga 27 November untuk menerima pelan tersebut bagi menamatkan konflik yang sudah berlarutan hampir empat tahun.
Erdogan berkata Turkiye akan melakukan segala usaha untuk menjadi perantara dalam menamatkan perang itu.
“Ramai telah terkorban, saya akan berbincang dengan (Putin) mengenai langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk menghentikan pertumpahan darah ini. Selepas perbualan itu, saya yakin saya akan dapat berkongsi hasilnya dengan rakan-rakan Eropah, Trump dan rakan lain,” katanya.
Pada 19 November lalu, Erdogan menjadi tuan rumah kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Ankara.
Beliau menggesa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan di Istanbul, lokasi tiga pusingan perbincangan yang diadakan pada awal tahun ini.
Zelensky sebelum itu berkata beliau ke Ankara bagi mendapatkan penglibatan AS dalam usaha diplomatik untuk menamatkan pencerobohan Rusia, sambil menyatakan hasratnya untuk mengembalikan semula rundingan damai yang buntu kini.