MADRID, 7 Mei- Enam negara Eropah iaitu Sepanyol, Iceland, Ireland, Luxembourg, Norway dan Slovenia menolak sebarang perubahan demografi atau wilayah Gaza.
Pendirian itu dinyatakan bersama menteri luar negara berkenaan, susulan rancangan Israel untuk memperluaskan serangan ketenteraan di wilayah Palestin itu.
Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar menganggap rancangan itu sebagai peningkatan baharu dan berbahaya.
"Ia akan melintasi satu lagi garis merah dan membahayakan konflik Israel-Palestin.
"Peningkatan ketenteraan juga akan memburukkan lagi keadaan yang dihadapi orang awam Palestin selain membahayakan nyawa tebusan di Gaza," katanya.
Selain itu, menteri-menteri luar turut mendesak Israel supaya tidak lagi menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza.
"Sekatan yang dikenakan telah menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan serta meningkatkan kebimbangan terhadap kebuluran.
“Yang lebih mendesak diperlukan ketika ini ialah penyambungan semula gencatan senjata dan pembebasan semua tebusan tanpa syarat,” menurut kenyataan itu. - AFP