fb fb fb fb fb

Empat juta penduduk Ukraine terjejas akibat gangguan bekalan elektrik

(Wanita menolak kereta sorong dipenuhi kayu api menjelang musim sejuk di kampung Shandrigolovo
di wilayah Donetsk timur Ukraine, pada 28 Oktober 2022, selepas pembebasan kawasan itu/Foto AFP)

KIEV, 29 Oktober- Empat juta penduduk Ukraine terjejas akibat gangguan bekalan elektrik berikutan siri serangan bom oleh tentera Rusia.

Presidennya, Volodymyr Zelensky berkata kerajaan akan terus berusaha mengurangkan gangguan yang berlaku.

"Kira-kira empat juta rakyat Ukraine menghadapi kesukaran sekarang daripada gangguan yang berterusan.

"Kami melakukan segala-galanya supaya dapat mengurangkan gangguan bekalan elektrik berkenaan," katanya dalam ucapan pada Jumaat.

(Volodymyr Zelensky/Foto AFP)

Kenyataan Zelensky itu dikeluarkan beberapa jam selepas Rusia mengumumkan telah selesai memanggil kesemua 300,000 anggota pasukan simpanan untuk menyertai operasi ketenteraan di Ukraine.

Syarikat elektrik, DTEK memberi amaran serangan Rusia, memaksa pengendali bekalan elektrik di Kiev itu, mencatu bekalan yang tidak pernah berlaku sebelum ini bagi mengelakkan bekalan elektrik terputus sepenuhnya.

"Gangguan bekalan yang lebih teruk dan lama akan dilaksanakan dalam beberapa hari akan datang," katanya.

Sementara itu, Amerika Syarikat mengumumkan bantuan ketenteraan baharu kepada Ukraine, sebahagiannya disebabkan oleh serangan Rusia ke atas infrastruktur awam negara itu.

Tentera Rusia melancarkan serangan udara sejak beberapa minggu lalu, menyasarkan infrastruktur tenaga dan memusnahkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kemudahan elektrik negara itu, menjelang musim sejuk.-AFP

Media Baharu