KARACHI, 6 November-Dua warga China cedera selepas ditembak oleh pengawal keselamatan di sebuah kilang pakaian di kawasan perindustrian komersial Karachi pada Selasa.
Insiden berkenaan merupakan salah satu daripada beberapa siri serangan yang telah mencetuskan tekanan dari Beijing agar Pakistan mempertingkatkan keselamatan bagi melindungi warganya.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Salah seorang pegawai polis Faizan Ali memaklumkan kepada Reuters bahawa kedua-dua warga China telah ditembak, tetapi enggan memberikan butiran lanjut. Manakala seorang lagi pegawai polis, yang enggan dikenali, berkata tembakan itu dilakukan oleh seorang pengawal keselamatan yang belum ditangkap, dan motif serangan masih tidak dapat dipastikan.
Menurut kenyataan Pejabat Luar Pakistan, insiden tersebut berlaku selepas perselisihan faham dengan pengawal keselamatan swasta, dan ia sedang disiasat.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa mereka sedang berhubung rapat dengan Kedutaan China di Islamabad.
Seorang jurucakap Hospital Liaquat National di bandar pelabuhan selatan Karachi memberitahu bahawa hospital berkenaan sedang merawat kedua-dua mangsa, dengan salah seorang berada dalam keadaan kritikal.
Serangan berkenaan menyusul selepas beberapa kejadian termasuk letupan bom berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Karachi bulan lalu yang mengorbankan dua jurutera China.
Serangan tersebut didakwa dilakukan oleh kumpulan pemisah militan Tentera Pembebasan Baloch.
Serangan di Karachi itu adalah sebahagian daripada pemberontakan yang telah lama berlarutan di wilayah Balochistan di barat daya Pakistan, yang sering menyasarkan kerajaan, tentera, serta kepentingan China.
Kumpulan militan mendakwa mereka berjuang untuk mendapatkan bahagian yang lebih besar daripada sumber-sumber di wilayah tersebut.
Wilayah ini juga merupakan lokasi pelabuhan air dalam Gwadar yang dibina oleh China sebagai sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$65 bilion di bawah Koridor Ekonomi China-Pakistan, yang merupakan projek utama dalam Inisiatif Jalur dan Laluan Sutera (Belt and Road Initiative) yang dilancarkan oleh Presiden China, Xi Jinping.-REUTERS