(Foto fail AFP)
LOS ANGELAS, 7 September- Sekurang-kurangnya dua orang maut dan beribu-ribu lagi diarah berpindah berikutan kebakaran hutan di California.
Beberapa bangunan turut musnah dalam kebakaran yang bermula di tenggara Los Angeles, memusnahkan 1,000 hektar kawasan dalam tempoh kurang 24 jam.
Menurut jurucakap jabatan bomba tempatan, kebakaran merebak dengan pantas sebelum pihaknya sempat tiba di lokasi.
"Kebakaran itu merebak dengan cepat sebelum anggota bomba tiba di tempat kejadian," katanya menerusi Twitter.
Lebih 3,000 isi rumah diarah berpindah dan semua sekolah berhampiran ditutup.
(Penduduk menyaksikan pesawat menjatuhkan kalis api ke atas
kediaman di Hemet, California pada 6 September 2022/AFP)
California berdepan gelombang haba dengan suhu tinggi 43 darjah selsius direkodkan setiap hari di beberapa kawasan.
Keadaan diburukkan dengan kemarau paling teruk melanda dalam tempoh dua dekad, menyebabkan kawasan luar bandar kering dan mudah berlakunya kebakaran.
"Berikutan satu lagi rekod panas pada Selasa dari California ke High Plains, jangkaan suhu panas berterusan hingga pertengahan minggu ini.
"Banyak rekod suhu tinggi harian mungkin akan dipecahkan dari utara Rockies dan High Plains ke selatan California," kata Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.-AFP