fb fb fb fb fb

Dianggarkan 15,000 tentera Rusia terbunuh di Ukraine

(Pegawai polis melihat perhentian bas, masjid dan bangunan yang rosak akibat serangan tentera Rusia
ketika pencerobohan Rusia ke atas Ukraine berterusan, di Kharkiv, Ukraine 20 Julai 2022/REUTERS)

ASPEN, 21 Julai- Amerika Syarikat menganggarkan jumlah kematian tentera Rusia dalam perang di Ukraine mencecah 15,000 orang dan 45,000 lagi mengalami kecederaan.

Ukraine juga turut berdepan jumlah kematian yang ketara.

Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat, William Burns berkata kejayaan Moscow menguasai satu perlima kawasan di Ukraine dalam tempoh lima bulan menuntut pengorbanan yang besar.

"Anggaran terkini daripada komuniti perisikan AS adalah kira-kira 15,000 (tentera Rusia) terbunuh dan mungkin tiga kali ganda daripada jumlah itu cedera.

"Dan Ukraine juga berdepan situasi sama, mungkin sedikit kurang tetapi angkat kematian yang ketara," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam Forum Keselamatan Aspen di Colorado.

(Seorang penduduk tempatan melihat keluar melalui tingkap pecah di bangunan kediaman yang rosak
akibat serangan tentera Rusia, di Kramatorsk, wilayah Donetsk, Ukraine 19 Julai 2022/REUTERS)

Mengikut rekod Rusia, seramai 1,351 askar negara itu terbunuh di Ukraine, setakat 25 Mac lalu.

Bulan lepas, Kiev pula mendakwa antara 100 hingga 200 askarnya maut setiap hari.-REUTERS

Media Baharu