LONDON, 4 Februari- Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, dijadual bertemu rakan sejawatnya dari United Kingdom, Keir Starmer, pada Selasa.
Pertemuan itu adalah sebagai usaha mendapatkan sokongan Eropah bagi menentang kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai hasrat untuk mengambil alih Greenland.
Menurut pejabat Frederiksen, pertemuan di London itu akan menumpukan kepada "isu keselamatan di Eropah".
"Kita memerlukan Eropah yang lebih kuat, yang menyumbang lebih banyak kepada NATO dan lebih berdikari.
Pada masa yang sama, kita mesti memainkan peranan dalam mengekalkan perkongsian merentasi Atlantik yang telah menjadi asas kepada keamanan dan kemakmuran sejak Perang Dunia Kedua," kata Frederiksen.
Trump berulang kali memberi isyarat bahawa beliau mahu pulau Artik itu menjadi sebahagian daripada AS.
AS mendakwa mempunyai kepentingan strategik serta mempercayai bahawa lokasi itu menyimpan sumber mineral dan minyak yang belum diteroka.
Minggu lalu, Frederiksen melawat Paris dan Berlin untuk mendapatkan sokongan daripada kuasa utama Kesatuan Eropah (EU) bagi menentang ancaman Trump.
Sehari selepas Trump mengangkat sumpah sebagai presiden, Perdana Menteri Greenland, Mute Egede, menegaskan bahawa rakyat Greenland tidak mahu menjadi rakyat Amerika.
Pemimpin Denmark sebelum ini juga menegaskan bahawa Greenland adalah milik rakyat Greenland sendiri.- AFP