ISTANBUL, 22 Februari- Datuk Bandar Los Angeles Karen Bass pada Jumaat memecat Ketua Bomba Kristin Crowley, memetik cara beliau mengendalikan kebakaran hutan yang dahsyat baru-baru ini, lapor Anadolu Ajansi.
Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta selepas Bass mengkritik tindakan Crowley yang menghantar pulang 1,000 anggota bomba pada hari kejadian serta enggan menjalankan laporan pasca tindakan.
“Demi kepentingan keselamatan awam Los Angeles dan operasi Jabatan Bomba Los Angeles, saya memecat Kristin Crowley sebagai Ketua Bomba,” kata Bass dalam kenyataan di platform X.
Beliau melantik Ronnie Villanueva, seorang veteran dengan 41 tahun pengalaman dalam jabatan itu, sebagai ketua sementara.
Langkah itu dibuat selepas kebakaran dahsyat melanda California Selatan pada Januari 2025, termasuk Kebakaran Eaton dan Palisades yang memusnahkan lebih 55,000 ekar, mengorbankan 29 nyawa dan menyebabkan kerugian insurans dianggarkan antara US$75 bilion hingga US$164 bilion.
Bass turut dikritik kerana tidak berada di lokasi semasa krisis, susulan menghadiri majlis angkat sumpah presiden di Ghana.
Kritikan terhadap cara beliau menangani insiden ini turut disuarakan oleh Presiden Donald Trump.- BERNAMA-ANADOLU