fb fb fb fb fb

Datuk Bandar Istanbul ditahan, berdepan tuduhan rasuah dan kumpulan pengganas

Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu/Reuters

ISTANBUL, 19 Mac- Pihak berkuasa Turkiye menahan pesaing utama Presiden Tayyip Erdogan atas beberapa pertuduhan termasuk rasuah dan membantu kumpulan pengganas.

Datuk Bandar Istanbul, Ekrem Imamoglu dari Parti Republikan Rakyat (CHP) berdepan dua siasatan berasingan termasuk tuduhan mengetuai organisasi jenayah, rasuah dan penipuan tender.

Parti yang diterajuinya bersedia dalam tempoh beberapa hari ini untuk menamakannya sebagai pencabar kepada Erdogan.

Datuk Bandar selama dua penggal itu dilihat secara meluas sebagai pesaing yang kompetitif dalam mana-mana tinjauan akan datang.

Menerusi video yang dikongsi, Imamoglu menegaskan, beliau tidak akan berputus asa dan akan terus berdiri teguh meskipun dalam situasi penuh tekanan.

Sementara itu, kenyataan pejabat pendakwa raya Istanbul berhubung siasatan pertama menjelaskan bahawa seramai 100 orang termasuk wartawan dan ahli perniagaan disyaki terbabit dalam kegiatan jenayah berkaitan tender tertentu yang diberikan oleh majlis perbandaran berkenaan.

Siasatan kedua pula, mendakwa beliau dan enam yang lain membantu Parti Pekerja Kurdistan yang disifatkan sebagai organisasi pengganas oleh Turkiye dan sekutunya.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM