BAITULMAQDIS, 6 Jun- Tentera Israel pada Khamis mengaku telah melakukan serangan maut ke atas sebuah sekolah PBB di tengah Gaza dengan alasan ia menempatkan kubu Hamas.
Sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dalam serangan terserbut.
"Jet pejuang Israel melakukan serangan tepat ke atas kubu Hamas di sekolah UNRWA di kawasan Nuseirat", kata tentera Israel dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa beberapa pengganas berjaya 'dihapuskan'.
Tambah kenyataan itu, mereka yang dibunuh merupakan anggota yang terlibat dalam serangan ke atas masyarakat di selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
"Hamas telah mengeksploitasi sekolah tersebut dan menggunakannya sebagai tempat perlindungan."
Sementara itu, pejabat media Hamas berkata sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera dalam serangan itu dan dibawa ke Hospital Syahid Al-Aqsa.
Ia menuduh tentera Israel melakukan "pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan dan memalukan manusia".
Lebih perit, hospital itu melaporkan kegagalan penjana elektrik pada waktu malam merumitkan rawatan kepada pesakit. -AFP