fb fb fb fb fb

Omicron: Seoul henti strategi uji dan rawat tumpu kepada kumpulan berisiko

FOTO AFP

SEOUL, 9 Februari- Korea Selatan umum menggugurkan program COVID-19 “jejak, uji dan rawat” yang dibanggakan berikutan peningkatan kes positif kesan varian Omicron yang berupaya mengancam sistem kesihatan negara itu.

Ketika awal wabak menular pada 2020, Korea Selatan antara negara paling terjejas di luar China, namun pihak berkuasa berjaya mengawal penularan hasil saringan besar-besaran dan pengesanan kontak secara agresif.

Keputusan mengugurkan program yang mendapat pujian rakyat itu terpaksa dilakukan selepas kes positif melepasi paras sejuta pada hujung minggu lalu.

“Pendekatan, ‘jejak, uji dan rawat’ sukar untuk dilaksanakan disebabkan sumber yang terhad dan memerlukan kos sosial serta ekonomi terlalu tinggi, kata Sohn Young-rae, pegawai kanan kesihatan.

Kes jangkitan harian di Korea Selatan mencatat paras tertinggi 49,567 pada Selasa dan pihak berkuasa kesihatan menjangka angka itu akan mencecah 170,000 kes pada akhir bulan ini.

Jumlah kes itu meningkat dua kali ganda dalam tempoh kurang seminggu.

Jelas Sohn, langkah pencegahan terbaru pengurusan virus akan berkuat kuasa secara berperingkat bermula bulan ini; memfokus semula penggunaan sumber kepada kumpulan paling berisiko.

“Matlamat adalah untuk mendiagnosis dan merawat kumpulan berisiko tinggi bagi mengelak sistem kesihatan lumpuh serta kemerosotan fungsi sosial dan ekonomi", tambah Sohn.

Pihak berkuasa akan lebih mengutamakan saringan kepada penduduk berumur 60 tahun dan ke atas.

Sebelum ini, individu yang diuji positif dihantar ke pusat perubatan kerajaan untuk rawatan dan menjalani kuarantin, tetapi kini pesakit tanpa gejala hanya diminta tinggal di rumah.

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea, kira-kira 85 peratus penduduk daripada keseluruhan 52 juta populasi sudah menerima dua dos vaksin. -AFP

Media Baharu