ABIDJAN, 19 Oktober - Kerajaan Cote d’Ivoire pada Jumaat mengumumkan larangan sementara selama dua bulan terhadap semua perhimpunan awam dan demonstrasi yang dianjurkan oleh parti atau kumpulan politik di seluruh negara, lapor Xinhua.
Menurut dekri yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Keselamatan Vagondo Diomande serta Menteri Negara merangkap Menteri Pertahanan Tene Birahima Ouattara, langkah yang berkuat kuasa serta-merta itu bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan menjamin keselamatan negara sepanjang tempoh pilihan raya.
Dekri itu menetapkan hanya demonstrasi yang berkaitan secara langsung dengan proses pilihan raya presiden pada 25 Okt dibenarkan, manakala semua perhimpunan politik awam lain tetap dilarang keras. Pihak yang melanggar larangan ini akan berdepan tindakan undang-undang.
Pelaksanaan larangan tersebut diserahkan kepada pegawai kanan dalam pentadbiran wilayah, Gendarmerie serta Polis Negara.
Tempoh rasmi kempen pilihan raya presiden akan datang bermula pada 10 Okt dan akan berakhir pada 23 Okt.
Penyandang jawatan Presiden Alassane Ouattara, 83, yang mewakili Perhimpunan Houphouetists untuk Demokrasi dan Keamanan, akan berdepan empat pencabar: bekas Wanita Pertama Simone Ehivet Gbagbo, 76, calon daripada Pergerakan Generasi Berkeupayaan; Jean-Louis Billon, 60, calon Kongres Demokratik; Ahoua Don Mello, 67, calon bebas; dan Henriette Lagou Adjoua, 66, calon bagi Kumpulan Rakan Politik untuk Keamanan.- BERNAMA