BOGOTÁ, 1 Mac - Presiden berhaluan kiri Colombia, Gustavo Petro semalam menggantung pembelian senjata Israel selepas insiden maut dalam perebutan bantuan makanan di wilayah Palestin yang dilanda perang.
Beliau juga menyifatkan kejadian itu sebagai tujuan “pembunuhan beramai-ramai” oleh Israel di Gaza.
Petro membuat pengumumannya Khamis selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah rakyat Palestin yang berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan dan telah menyebabkan lebih 100 orang terbunuh.
Sumber Israel mengakui tentera telah melepaskan tembakan ke arah orang ramai kerana dikatakan "menimbulkan ancaman." kepada mereka.
“Meminta makanan, lebih 100 rakyat Palestin dibunuh oleh Perdana Menteri Israel (Benjamin Netanyahu). Ini dipanggil pembunuhan beramai-ramai dan mengimbas kembali Holocaust.
“Dunia mesti menyekat Netanyahu. Colombia menggantung semua pembelian senjata dari Israel," tulis Petro di X.
Israel adalah salah satu pembekal utama senjata kepada pasukan keselamatan negara Amerika Selatan itu, yang terlibat dalam konflik selama berdekad-dekad dengan gerila kiri, separa tentera sayap kanan dan kartel dadah.
Tentera udaranya memiliki kira-kira 20 pesawat tempur Kfir, dan negara itu mempunyai hak untuk mengeluarkan senapang automatik Galil dan peluru berpandu Spike di bawah paten Israel.
Petro, seorang pengkritik kempen Israel di Gaza, telah berhujah keras dengan duta negara itu di Bogota, Gali Dagan.
Pada bulan Oktober, hanya beberapa hari selepas permulaan perang, Israel berkata ia "menghentikan eksport keselamatan" ke Colombia.
Presiden berhaluan kiri pertama Colombia juga telah menegaskan bahawa "rakyat demokratik tidak boleh membenarkan Nazisme untuk menubuhkan semula dirinya dalam politik antarabangsa."- AFP