fb fb fb fb fb

Chu individu pertama didakwa bawah undang-undang keselamatan baharu Hong Kong

Foto hiasan

HONG KONG, 16 September- Seorang lelaki Hong Kong mengaku bersalah atas tuduhan "melakukan perbuatan dengan niat menghasut" kerana memakai kemeja-T dengan slogan protes.

Chu Kai-pong, 27, menjadi orang pertama yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara baharu bandar itu yang diluluskan pada Mac.

Menurut undang-undang keselamatan baharu, hukuman maksimum bagi kesalahan itu telah diperluaskan daripada dua tahun kepada tujuh tahun penjara malah boleh meningkat sehingga 10 tahun sekiranya didapati terlibat "bersubahat dengan kuasa asing."

Chu ditangkap pada 12 Jun lalu di stesen MTR memakai kemeja-T dengan slogan "Bebaskan Hong Kong, revolusi zaman kita" dan topeng kuning dicetak dengan "FDNOL" singkatan slogan lain.

Kedua-dua slogan itu sering dilaungkan dalam protes pro-demokrasi besar pada 2019 dan 12 Jun merupakan hari permulaan penting pergolakan selama berbulan-bulan.

Chu memberitahu polis bahawa dia memakai kemeja-T untuk mengingatkan orang ramai tentang protes.

Ketua Majistret Victor So, dipilih sendiri oleh Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong John Lee untuk mendengar kes keselamatan negara, menangguhkan kes itu pada Khamis untuk hukuman.

Pengkritik, termasuk kerajaan Amerika Syarikat menyatakan kebimbangan terhadap undang-undang keselamatan baharu dan berkata peruntukan yang ditakrifkan secara samar-samar mengenai "hasutan" boleh digunakan untuk mengekang perbezaan pendapat.

Bagaimanapun pegawai Hong Kong dan China menifatkan tindakan berkenaan dilihat perlu dilakukan untuk menutup "lompong" keselamatan negara.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI