fb fb fb fb fb

China, Brazil teruskan rancangan damai Ukraine

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy / Foto Reuters

NEW YORK, 28 September - China dan Brazil pada Jumaat meneruskan usaha mengumpulkan negara-negara membangun bagi menyokong rancangan untuk menamatkan perang Rusia di Ukraine, walaupun Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, menolak inisiatif tersebut kerana dianggap memihak kepada Moscow.

Tujuh belas negara menghadiri mesyuarat yang berlangsung di luar Perhimpunan Agung PBB, dipengerusikan oleh Menteri Luar China, Wang Yi, dan penasihat dasar luar Brazil, Celso Amorim.

Menurut Wang, perbincangan tersebut menumpukan kepada usaha mencegah eskalasi perang, mengelak penggunaan senjata pemusnah besar-besaran, dan melindungi loji kuasa nuklear. Beliau menekankan bahawa Rusia dan Ukraine merupakan jiran yang tidak dapat dipisahkan, dan perdamaian adalah satu-satunya pilihan realistik.

Wang turut menyeru masyarakat antarabangsa menyokong satu persidangan damai melibatkan kedua-dua negara tersebut.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken yang bertemu dengan Wang selepas mesyuarat itu, meluahkan kebimbangan mengenai sokongan China terhadap asas industri pertahanan Rusia.

Blinken berkata, walaupun China menyatakan hasratnya untuk menamatkan konflik di Ukraine, mereka membenarkan syarikat-syarikatnya membantu Putin meneruskan pencerobohan, yang dianggap tidak selari dengan pendirian mereka.

Sementara itu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, turut mengadakan perbincangan mengenai konflik tersebut di New York dengan rakan sejawatnya dari Brazil, Maura Vieira.

Selain Brazil dan China, 10 negara dari Global South, termasuk Indonesia, Afrika Selatan, dan Turki, turut menandatangani kenyataan yang dikatakan Amorim berdasarkan pelan enam perkara yang dicadangkan oleh Brazil dan China pada bulan Mei lalu.

Negara-negara tersebut akan terus bermesyuarat di bawah kumpulan yang dinamakan “Rakan untuk Keamanan”.

Presiden China, Xi Jinping, sebelum ini telah menandatangani perjanjian kerjasama "tanpa had" dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada 2022, sebelum konflik Ukraine bermula.

Zelenskiy, dalam ucapannya di perhimpunan PBB pada Rabu, mempersoalkan cadangan alternatif oleh China dan Brazil.

Beliau menyatakan bahawa rancangan penyelesaian setengah hati dan prinsip-prinsip tersebut hanya memberi ruang kepada Moscow untuk meneruskan perang.

Apabila ditanya mengenai kritikan Zelenskiy, Amorim menjawab bahawa beliau hanya ingin mencadangkan jalan ke arah perdamaian, tanpa membalas kenyataan dari Zelenskiy atau Putin.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN