fb fb fb fb fb

Bomba terus kawal kebakaran di pedalaman Australia

Anggota memadamkan kebakaran di negeri Victoria, Australia/ AFP

SYDNEY, 28 Januari- Anggota bomba Australia berusaha mengawal kebakaran yang melanda kawasan luar bandar tenggara negara itu pada Selasa.

Terdapat penduduk yang tidak dapat menyelamatkan diri berikutan berikutan amaran lewat yang dikeluarkan. Amaran dikeluarkan "terlalu lewat, penduduk tidak sempat untuk menyelamatkan diri" ke kawasan selamat.

Kebakaran di kawasan barat negeri Victoria itu memusnahkan kawasan seluas 65,000 hektar atau hampir sebesar Singapura. Kebakaran berkenaan merebak ke kawasan bandar pertanian kecil Dimboola kira-kira 330 kilometer barat laut Melbourne.

Ketua Pegawai Bomba Jason Heffernan berkata api merebak dengan pantas didorong angin panas yang melanda negara itu.

"Kami masih meneruskan kerja-kerja pemadaman api di sana. Anggota bomba berusaha untuk menghalang kebakaran daripada terus merebak," katanya kepada penyiar nasional ABC.

Heffernan berkata hampir 100 orang telah mendaftar di pusat pemindahan sementara di luar Dimboola, yang mempunyai populasi kira-kira 1,600 penduduk.

"Jika belum berpindah, penduduk dinasihatkan untuk berlindung di kediaman masing-masing. Ketika ini, proses pemindahan mendatangkan risiko bahaya," katanya.

Sementara itu kilat sabung-menyabung di bahagian lain Victoria turut menyebabkan kebakaran.

"Saya menjangkakan lebih banyak kebakaran berikutan kejadian kilat yang berlaku," kata Heffernan.

Para penyelidik berpendapat, keadaan suhu lebih panas juga menyebabkan kejadian kebakaran semakin teruk di seluruh Australia.

Para saintis telah mendokumentasikan kebakaran tersebut, dan perubahan cuaca melampau menyumbang kepada kebakaran yang melanda di seluruh negara itu sejak tahun 1950-an.

Sebelum ini kebakaran pada 2019-2020 membunuh berjuta-juta haiwan, memusnahkan kawasan hutan asli yang luas selain menghasilkan asap tebal dan menyelubungi bandar-bandar utama.- Reuters

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI