fb fb fb fb fb

Biden dan sekutunya terus menyokong Israel, gesa lindungi orang awam

(Presiden AS, Joe Biden mengadakan mesyuarat Quint -AS, Perancis, Britain, Jerman Itali dan
Kanada selepas bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu/ REUTERS)

WASHINGTON, 23 Oktober- Pemimpin Amerika Syarikat, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Britain menekankan sokongan mereka terhadap Israel dan hak untuk mempertahankan diri, tetapi turut menggesa agar mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas mesyuarat maya mengenai perang yang sedang berlaku antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas, para pemimpin mengalu-alukan pembebasan dua tebusan oleh Hamas dan menggesa pembebasan segera semua tebusan.

Presiden AS, Joe Biden mengadakan mesyuarat yang dipanggil Quint -AS, Perancis, Britain, Jerman dan Itali serta Kanada selepas bercakap dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Seruan itu dibuat di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat bahawa perang Israel-Hamas boleh menjadi konflik Timur Tengah yang lebih luas ketika Israel menggempur Gaza dan pertempuran di sempadannya dengan Lubnan semakin sengit.


(Tentera Israel berjalan di jalan berhampiran sempadan Israel dengan Lubnan di tengah-tengah
ketegangan yang memuncak antara Israel dan Lubnan, di utara Israel/ REUTERS)

Dalam kenyataan Biden itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau; Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Canselor Jerman Olaf Scholz, Perdana Menteri, Itali Giorgia Meloni dan Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berjanji untuk bekerjasama rapat untuk menyokong rakyat mereka di rantau ini, dan terutamanya mereka yang ingin meninggalkan Gaza.

Mereka mengalu-alukan ketibaan konvoi pertolongan cemas di Gaza dan berjanji untuk terus bekerjasama dengan rakan serantau untuk memastikan "akses yang mampan dan selamat" untuk 2.2 juta penduduk di Gaza kepada makanan, air, rawatan perubatan dan bantuan kemanusiaan lain.

Mereka juga bersetuju untuk meneruskan penyelarasan diplomatik yang rapat, termasuk dengan rakan kongsi utama di rantau ini, untuk "mencegah konflik daripada merebak, memelihara kestabilan di Timur Tengah, dan berusaha ke arah penyelesaian politik dan keamanan yang tahan lama".

Biden dan Netanyahu membincangkan ketibaan konvoi pertolongan cemas ke Gaza dan "mengesahkan bahawa kini akan ada aliran berterusan bantuan kritikal ini," kata White House.

Mereka turut membincangkan usaha membebaskan lebih daripada 200 tebusan yang diambil oleh Hamas, termasuk beberapa warga AS.

Biden bercakap secara berasingan dengan Pope Francis dan mereka membincangkan keperluan untuk berusaha ke arah keamanan yang berkekalan di Timur Tengah,” kata White House lagi.

Vatican sebelum ini berkata panggilan yang berlangsung kira-kira 20 minit, "memberi tumpuan kepada situasi konflik di dunia dan keperluan untuk mengenal pasti jalan menuju keamanan"- REUTERS

Media Baharu