WASHINGTON, 18 Januari - Bekas Presiden Guatemala, Alejandro Giammattei dilarang memasuki Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan penglibatannya terhadap rasuah, kata Jabatan Negara AS pada Rabu.
Kedudukan Giammatei sebagai Presiden telah digantikan oleh Bernardo Arevalo, salah seorang tokoh politik yang dianggap sebagai pejuang antirasuah negara Amerika Tengah berkenaan.
"Jabatan Negara AS mempunyai maklumat yang boleh dipercayai menunjukkan bahawa Giammattei menerima rasuah sebagai pertukaran semasa menjadi presiden Guatemala.
Tindakan tersebut boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang dan ketelusan kerajaan," kata jurucakap Jabatan Negara Matthew Miller dalam satu kenyataan.
Arevalo mengangkat sumpah sebagai presiden Guatemala pada awal pagi Isnin selepas majlis berkenaan bertukar menjadi huru-hara akibat ditangguhkan selama beberapa jam susulan percubaan oleh Kongres bagi menafikan kemenangannya.
Negara Amerika Tengah itu dikenali dengan kemiskinan, jenayah dan rasuah mengakibatkan beribu-ribu rakyat negera berkenaan meninggalkan Guatemala setiap tahun bagi mencari penghidupan yang lebih baik.
Kebanyakannya menuju ke Amerika Syarikat (AS).-REUTERS