fb fb fb fb fb

Bangladesh haramkan sayap pelajar parti Sheikh Hasina yang digulingkan

Anggota keselamatan berkawal di hadapan kediaman Presiden Mohammed Shahabuddin selepas penunjuk perasaan menuntut Shahabuddin meletak jawatan di Dhaka, Bangladesh, 23 Oktober 2024/ REUTERS

DHAKA, 24 Oktober- Kerajaan sementara Bangladesh secara rasmi mengharamkan Liga Chhatra Bangladesh (BCL), sayap pelajar parti Liga Awami pimpinan bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina yang digulingkan serta mengisytiharkannya sebagai 'pertubuhan pengganas'.

Langkah ini dibuat sebagai tindak balas kepada tuntutan yang semakin meningkat daripada Pergerakan Mahasiswa Anti-Diskriminasi, yang menggariskan lima tuntutan utama, termasuk pemansuhan Perlembagaan semasa, penyingkiran Presiden Mohammed Shahabuddin dan pembubaran BCL.

Kementerian Dalam Negeri memetik sejarah salah laku serius BCL sejak 15 tahun lalu, termasuk keganasan, gangguan dan eksploitasi sumber awam.

Larangan di bawah Akta Anti-Keganasan itu berkuat kuasa serta-merta, menurut satu pemberitahuan warta kerajaan yang dikeluarkan lewat Rabu.

Negara itu menyaksikan ketegangan dan protes semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas protes ganas memaksa Hasina melarikan diri ke India pada 5 Ogos lalu dan kerajaan sementara diketuai pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Muhammad Yunus mengambil alih kuasa.

Protes itu, yang bermula sebagai gerakan diketuai pelajar menentang kuota pekerjaan sektor awam pada Julai, meningkat kepada beberapa pergolakan paling dahsyat direkod sejak negara itu merdeka pada 1971, mengakibatkan lebih 700 kematian dan banyak kecederaan.

Ketika pergolakan berlangsung, pemimpin dan aktivis BCL menggunakan senjata menyerang pelajar dan orang awam yang membantah, membunuh ratusan orang yang tidak bersalah dan membahayakan nyawa ramai lagi.

Tiada sebarang komen segera daripada parti itu, sementara ramai pemimpin kanan Liga Awami sama ada sudah diberkas atas tuduhan mempunyai peranan dalam pergolakan atau bersembunyi.

Ditubuhkan pada 1948, BCL secara sejarahnya menjadi puak penting dalam Liga Awami.

Sebelum ini, kerajaan Hasina sudah mengharamkan parti Islam utama negara itu, Jamaat-e-Islami serta kumpulan gabungannya di bawah undang-undang anti-keganasan.

Ia dilakukan selepas mendakwa parti itu mencetuskan keganasan maut ketika protes yang diketuai pelajar dan terbabit dalam aktiviti keganasan.

Bagaimanapun, kerajaan sementara sudah menarik balik larangan itu berikutan kejatuhan kerajaan Hasina. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI