fb fb fb fb fb

AS mahu Rusia disingkirkan daripada Majlis Hak Asasi Manusia

BUCHA, 5 April - Amerika Syarikat (AS) berusaha untuk mendapatkan undian dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyingkirkan Rusia daripada Majlis Hak Asasi Manusia.

Tindakan itu berikutan video dan gambar yang memaparkan kekejaman dilakukan tentera Rusia.

Penasihat Keselamatan Amerika Syarikat Jake Sullivan mendakwa, kekejaman yang dilakukan Rusia di kawasan yang dahulu didudukinya di Ukraine adalah "jenayah perang."

Beliau bagaimanapun menambah, keadaan belum meningkat ketahap pembunuhan beramai-ramai.

Beliau memberi amaran konflik tersebut mungkin berlarutan dan kerusi Majlis keselamatan tidak harus dijadikan alat propaganda.

Sekurang-kurangnya 410 mayat orang awam ditemukan di bandar Bucha dekat Kiev dua hari lalu.

(410 mayat orang awam ditemukan di bandar Bucha)

Timbalan Datuk Bandar Bucha Taras Shapravskyi, berkata mayat tersebut ditemukan selepas tentera Russia berundur dari bandar itu lewat minggu lalu.

Imej satelit menunjukkan mayat-mayat mangsa bergelimpangan dalam sebuah parit besar yang digali berhampiran sebuah gereja dengan kesan tembakan di belakang kepala dan tangan terikat.

Ukraine mendesak organisasi antarabangsa menghantar pakar mereka bagi mengumpul bukti jenayah perang.

Terdahulu Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menggesa Presiden Vladimir Putin dipertanggungjawabkan dan dikenakan tindakan atas jenayah perang yang didakwa keterlaluan.

Moscow sebaliknya menafikan bertanggungjawab di atas kejadian itu dan meminta Majlis Keselamatan PBB bersidang membincangkan apa yang dianggapnya "provokasi pihak radikal Ukraine" di sini. - AFP

Media Baharu