fb fb fb fb fb

AS hantar pulang pendatang tanpa izin dari India, telan belanja lebih AS$1 juta

Donald Trump/ AFP

NEW YORK, 7 Februari- Pentadbiran Trump mula menggunakan pesawat tentera untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin yang memasuki negara itu.

Menurut laporan AFP, lebih AS$1 juta kos perbelanjaan digunakan semasa pengusiran pendatang untuk pulang ke India. Nilai itu dianggarkan tiga kali ganda lebih mahal daripada perjalanan awam.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berjanji untuk melaksanakan pengusiran terbesar dalam sejarah Amerika.

"Walaupun kebanyakan pendatang yang ingin diusir kebanyakannya berasal dari Amerika Latin, ada juga yang akan dihantar pulang lebih jauh ke seluruh dunia," kata Trump.

Menurut kenyataan kerajaan AS, sebuah pesawat kargo Tentera Udara AS mendarat di Amritsar, India, pada Rabu dengan membawa 104 warga India yang telah memasuki AS secara haram.

Penerbangan itu dipercayai merupakan penggunaan pertama pesawat tentera untuk menghantar pulang pendatang tanpa izin ke India.

Pesawat yang digunakan ialah C-17A Globemaster III, sebuah pesawat tentera besar yang mampu mengangkut tentera, kenderaan dan bekalan.

Penerbangan tentera jauh lebih mahal berbanding penerbangan sewa yang digunakan oleh Penguatkuasa Imigresen dan Kastam (ICE) untuk pengusiran.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh ICE pada 2021, kos penerbangan sewa ialah $8,577 setiap jam penerbangan, walaupun penerbangan yang mengangkut migran berisiko tinggi atau mungkin menelan kos lebih tinggi.

Sementara itu penggunaan pesawat C-17 dalam operasi pengangkutan dikenakan bayaran $28,562 sejam, menurut dokumen yang dikeluarkan US Air Mobility Command.

Penerbangan tentera juga mengambil laluan berbeza dengan pesawat komersial, kerana sensitiviti operasi di ruang udara negara berdaulat lain.

Pengisian minyak kapal terbang juga dilakukan di pangkalan udara tentera dan bukannya hab komersial.

Data Flightradar24 menunjukkan bahawa penerbangan pengusiran itu berlepas dari Stesen Udara Kor Marin Miramar di San Diego, California, sekitar kira-kira pukul 1.30 tengah hari waktu tempatan pada Isnin.

Ia kemudian terbang ke barat ke Hawaii, menyeberangi Pasifik ke Selat Luzon berhampiran Filipina, terbang antara Indonesia dan Malaysia, kemudian mengambil lencongan besar ke selatan ke Lautan Hindi yang terdapat pangkalan udara AS di pulau kecil Diego Garcia.

Dari Diego Garcia ia terus menuju ke utara ke India dan mendarat pada Rabu di lapangan terbang di negeri barat laut India Punjab selepas lebih 43 jam berlepas dari California.

Mengambil kira perjalanan pulang ke pangkalan udara AS, kos penerbangan mungkin melebihi $1 juta.

Sebagai perbandingan, tiket sehala dari San Francisco ke New Delhi dengan syarikat penerbangan komersial Amerika boleh dibeli dengan harga sekitar $500, atau $4,000 dalam kelas perniagaan.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI