fb fb fb fb fb

Arvind Kejriwal letak jawatan sebagai Ketua Menteri Delhi

Arvind Kejriwal/ REUTERS

INDIA, 16 September- Pemimpin pembangkang India Arvind Kejriwal akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Delhi, dua hari selepas beliau dibebaskan dari penjara dengan ikat jamin dalam kes rasuah.

Kejriwal dibenarkan ikat jamin pada Jumaat oleh Mahkamah Agung India selepas hampir enam bulan ditahan berhubung dakwaan penyelewengan polisi minuman keras di ibu negara India.

Kejriwal adalah pengkritik keras Perdana Menteri India Narendra Modi.

Sementara itu Parti Aam Aadmi (AAP) yang berusia sedekad dilihat dengan mudah naik ke arus perdana politik, walaupun pengaruhnya agak kecil berbanding parti pembangkang lama.

AAP menjangkakan bahawa pembebasan Kejriwal akan membolehkannya berkempen sebagai ketua menteri dalam pilihan raya wilayah bulan depan di negeri utara Haryana, dan di Delhi awal tahun depan.

Kejriwal, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Menteri Delhi pada pertemuan dengan pekerja AAP.

Dalam pada itu, Kejriwal hanya akan kembali ke jawatan itu sekiranya orang ramai memperakui kejujurannya dengan mengundinya dalam pilihan raya Delhi akan datang.

"Saya menuntut pilihan raya diadakan pada November dengan pilihan raya Maharashtra diadakan segera," kata Kejriwal.

Kejriwal pertama kali ditahan pada Mac oleh agensi membanteras jenayah kewangan India, beberapa minggu sebelum pilihan raya kebangsaan negara itu, berhubung dengan dasar minuman keras.

Walaupun dia dibenarkan ikat jamin dalam kes itu pada Julai, dia kekal dalam tahanan berikutan penahanannya pada bulan sebelumnya oleh polis persekutuan dalam satu lagi kes rasuah berkaitan polisi sama.

Kejriwal, 55, dan AAP menafikan dakwaan itu dan berkata kes itu "bermotifkan politik".- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI