fb fb fb fb fb

Arab Saudi tidak akan jalin hubungan dengan Israel tanpa Palestin

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman/ REUTERS

RIYADH, 19 September- Kerajaan Arab Saudi tidak akan menjalin hubungan dengan Israel sehingga sebuah negara Palestin diwujudkan.

Ia sekali gus memberi tamparan kepada usaha Amerika Syarikat (AS) untuk memeterai perjanjian damai.

"Kami mengulangi penolakan kerajaan dan kutukan keras terhadap jenayah pihak berkuasa pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin," titah Putera Mahkota Mohammed bin Salman pada sesi pembukaan Majlis Syura penasihatnya.

"Kerajaan ini tidak akan menghentikan usaha gigih untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis timur sebagai ibu kotanya. Kami menegaskan bahawa kerajaan itu tidak akan menjalin hubungan diplomatik dengan Israel tanpa Palestin", titahnya.

Pada 2020, perjanjian normalisasi termeterai antara Israel dengan Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) melalui usaha yang digerakkan oleh Presiden AS ketika itu, Donald Trump.

Pada awal bulan ini, Setiausaha Negara AS Antony Blinken telah membangkitkan prospek hubungan dengan penguasa minyak di negara Teluk sebagai manfaat untuk Israel sekiranya berlaku perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tahanan di Gaza.

Semasa lawatan ke Haiti, Blinken berkata, beliau masih berharap untuk memeterai perjanjian antara Israel dan Arab Saudi sebelum penggal Presiden Joe Biden tamat pada Januari depan.

"Saya fikir kita boleh mencapai gencatan senjata di Gaza, masih ada peluang dalam tempoh pentadbiran ini untuk bergerak ke arah normalisasi," kata Diplomat Tertinggi AS itu.

"Amerika Syarikat telah menyediakan pakej keselamatan untuk ditawarkan kepada Arab Saudi jika negara itu menjalinkan hubungan dengan Israel", ujar Blinken.

Dalam sebarang perjanjian berkaitan, Riyadh dijangka menuntut laluan kepada pembentukan sebuah negara untuk rakyat Palestin serta jaminan keselamatan daripada Washington.

"Untuk maju ke hadapan dengan normalisasi, dua perkara diperlukan iaitu keamanan di Gaza dan laluan yang boleh diyakini kepada negara Palestin", kata Blinken semasa Forum Ekonomi Dunia di Riyadh.

Bagaimanapun, kerajaan Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, tetap berkeras menentang pembentukan negara Palestin.-AFP

ROSLINA BINTI DIN