fb fb fb fb fb

Aidilfitri, Taliban berjaya kekalkan kebebasan, pemimpin ucap tahniah

(Pemimpin utama Taliban, Hibatullah Akhundzada/AFP)

KANDAHAR, 1 Mei– “Taniah atas kemenangan, kebebasan dan kejayaan yang dicapai,” kata pemimpin utama kerajaan Taliban Afghanistan, Hibatullah Akhundzada kepada penduduk menjelang akhir Ramadan pada Ahad.

Media barat melaporkan, kemunculan pemimpin tertinggi itu adalah kali ke-2 dalam tempoh enam tahun selepas memimpin Taliban.

Jelas Hibatullah, Taliban berjaya mencapai kebebasan dan keselamatan serta melaksanakan pentadbiran Islam sejak mengambil alih kuasa pada tahun lepas.

Kemunculan pemimpin itu dikawal ketat anggota keselamatan. Dua helikopter turut digunakan bagi mematau keselamatan sepanjang dua jam program berlangsung di Masjid Eidgah selatan Kandahar.

Jumaat lalu berlaku pengeboman di Masjid Kabul selepas solat Jumaat, mengorbankan puluhan jemaah. 

Ia insiden terbaharu dalam siri serangan pengeboman yang menyasarkan orang awam ketika bulan Ramadan.

Secara keseluruhan, kekerapan serangan bom di seluruh negara semakin berkurangan sejak Kabul bawah pemerintahan Taliban, namun meningkat dalam dua minggu terakhir Ramadan.

Serangan pada Jumaat itu menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang mati, didakwa angkara militan daesh yang menyasarkan komuniti Syiah dan Sufi.

Hibatullah yang jarang muncul dalam program melibatkan orang awam, telah menimbulkan spekulasi mengenai peranannya dalam kerajaan baharu Taliban, yang ditubuhkan selepas kumpulan itu menguasai Kabul pada 15 Ogos lalu – malah ada khabar angin mengenai kematiannya.

Pemimpin itu dipercayai menetap di Kandahar.

Dalam ucapan menjelang sambutan Aidilfitri, Hibatullah tidak menyentuh serangan berdarah sepanjang Ramadan,  sebaliknya memuji usaha Taliban membina "tentera Islam dan negara yang kuat" selain memiliki "organisasi perisikan yang kuat".

Sementara itu, pada Ahad, kebanyakan penduduk memilih untuk kekal berada di Rumah.


(Pejuang Taliban mengawal keselamatan ketika penduduk menunaikan
solat pada Ahad 1 Mei 2022/AFP)

“Keadaan penduduk amat menyedihkan terutama selepas kejadian di Masjid Kabul, kata seorang penduduk Ahmad Shah Hashemi kepada wartawan AFP.

“Banyak penduduk muda dan warga tua mati Syahid. Penduduk Afghanistan tidak ada apa-apa kecuali kesedihan.”

Serangan bom terburuk pada Ramadan ini, berlaku di wilayah utara Kunduz menyebabkan sekurangnya-kurangnya 36 orang mati.

Serangan menyasarkan komuniti Sufi ketika mereka sedang mengerjakan solat di masjid.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab. -AFP

Media Baharu