KARACHI,7 April- Pusat beli-belah dan pasar di seluruh Pakistan menjadi tumpuan orang ramai menjelang Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi.
Penduduk Pakistan pada minggu akhir Ramadan ini berpusu-pusu keluar untuk mencari pakaian baharu, barang kemas dan kasut yang biasanya dianggap sebagai keperluan Hari Raya Aidilfitri.
Pembeli dan vendor mengatakan bahawa inflasi melemahkan semangat untuk pembelian.
Pelanggan dan penjual di bandar Karachi serta Lahore memberitahu REUTERS bahawa harga barangan kelihatan meningkat dua kali ganda sejak tahun lepas.
Pakistan telah menghadapi cabaran inflasi yang ketara, mencecah paras tertinggi 38 peratus pada Mei lalu, sebahagiannya dipengaruhi oleh langkah cukai untuk memenuhi keperluan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Ia perlu memenuhi syarat IMF termasuk menyemak semula belanjawannya dan menaikkan kadar faedah serta menjana pendapatan melalui lebih banyak cukai serta menaikkan harga elektrik dan gas.
Penduduk Pakistan dijangka menyambut Aidilfitri pada 10 April ini.- REUTERS