fb fb fb fb fb

8 orang maut dalam letupan bom kereta di utara Syria

Kesan letupan bom kereta di zon perindustrian di bandar Tal Abyad, utara Syria, beberapa orang terbunuh/FOTO fail AFP

BEIRUT, 31 Mac- Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh, manakala 23 lagi cedera apabila sebuah bom kereta meletup di tengah-tengah pasar popular di Azaz, wilayah Aleppo yang dikuasai tentera pro-Turkiye.

Pemantau Hak Asasi Manusia bagi Syria berkata, jumlah korban dijangka meningkat.

Menurut agensi yang berpangkalan di Britain itu serta mempunyai rangkaian sumber di Syria, letupan turut menyebabkan banyak kerosakan dan kebakaran, sambil menambah bahawa ambulans dan anggota penyelamat berada di lokasi kejadian.

Perang Syria bermula selepas kerajaan menindas protes aman pada 2011 dan ia memuncak menjadi konflik maut yang disertai pejuang Islam dan tentera asing.

Peperangan tersebut telah membunuh lebih 507,000 orang, berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal dan menjejaskan infrastruktur dan industri negara.

Turkiye telah melancarkan serangan ketenteraan berturut-turut di Syria, kebanyakannya menyasarkan Kurdish yang dikaitkan Ankara dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad terhadap negara Turkiye.

Tentera Turkiye dan proksi Syria mereka menguasai kawasan sempadan, termasuk beberapa bandar dan bandar utama seperti Azaz.-AFP

ROSLINA BINTI DIN