YANGON, 15 September- Angka kematian di Myanmar akibat Taufan Yagi meningkat kepada 74 orang, lapor media kerajaan pada Ahad, sehari selepas junta memohon bantuan antarabangsa.
Menurut laporan rasmi, banjir dan tanah runtuh telah meragut nyawa hampir 350 orang di Myanmar, Vietnam, Laos dan Thailand susulan Taufan Yagi, yang melanda wilayah itu hujung minggu lalu.
Menurut Global New Light of Myanmar, sehingga Jumaat lalu, seramai 74 orang maut dan 89 orang hilang dalam kejadian banjir di Myanmar.
Global New Light of Myanmar melaporkan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan. Tambahnya, banjir telah memusnahkan lebih 65,000 rumah dan lima empangan, turut menambahkan lagi penderitaan di negara yang mengalami konflik sejak rampasan kuasa tentera pada 2021.
Angka kematian junta sebelum ini adalah 33 orang dan lebih daripada 235,000 orang dipindahkan, menurut kiraan yang diterbitkan pada Jumaat.
Kawasan ladang ditenggelami air di kawasan tengah, termasuk di sekitar ibu kota Naypyidaw yang luas dan rendah.
Terdapat laporan mengenai tanah runtuh di kawasan berbukit, jalan raya, jambatan rosak serta talian telefon dan internet terputus, menyebabkan pengumpulan maklumat menjadi lebih sukar.
Sungai Sittaung dan Bago, yang mengalir melalui tengah dan selatan Myanmar, kedua-duanya masih di atas paras berbahaya pada Ahad, kata media kerajaan, walaupun paras air dijangka turun dalam beberapa hari akan datang.
Pihak berkuasa di Myanmar telah membuka 82 kem bantuan untuk menempatkan orang yang dipindahkan, menurut media kerajaan.
Pejabat cuaca Thailand memberi amaran pada Ahad mengenai hujan lebat seterusnya di wilayah sepanjang sungai Mekong.
Sementara itu, ketua junta Myanmar memohon bantuan asing bagi menangani banjir, yang jarang berlaku lapor media pemerintah pada Sabtu lalu.
Pihak junta sebelum ini menyekat bantuan kemanusiaan dari luar negara.
Tahun lalu, ia tidak memberi kebenaran kumpulan bantuan yang cuba membantu kira-kira sejuta mangsa Taufan Mocha kuat yang melanda barat negara itu.
Pada Sabtu, Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (UNOCHA) di Myanmar dan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) memberitahu AFP bahawa mereka tidak dapat mengulas permintaan junta itu.
Insiden banjir menambah penderitaan penduduk di Myanmar, dengan lebih 2.7 juta orang kehilangan tempat tinggal akibat konflik.-AFP