KHARKIV, 10 Februari- Seramai tujuh orang terkorban, termasuk tiga kanak-kanak dalam serangan dron Rusia ke atas stesen minyak di bandar Kharkiv, timur Ukraine dan memusnahkan hampir sebahagian jalan raya.
Gabenor Wilayah Kharkiv Oleg Synegubov berkata mangsa yang maut adalah lima sekeluarga, selepas kediaman keluarga itu terbakar, susulan serangan dron tersebut.
"Suami isteri dan tiga anak mereka iaitu lelaki berusia tujuh tahun, empat tahun dan tujuh bulan," katanya menerusi Telegram.
Serangan itu turut menyebabkan kebakaran rumah berhampiran dan memaksa sekurang-kurangnya 50 orang berpindah, kata Datuk Bandar Kharkiv, Igor Terekhov.
"Serangan dron yang menyasarkan sebuah stesen minyak, menyebabkan bahan api tumpah keluar dan membakar 15 rumah serta sebahagian jalan," katanya.
Pendakwa wilayah Kharkiv Oleksandr Filachkov berkata tiga dron menyasarkan daerah Nemyshlyanskyi Kharkiv.
"Akibatnya, objek infrastruktur kritikal telah musnah. Terdapat sejumlah besar bahan api, mengakibatkan kebakaran sangat dahsyat," katanya merujuk kepada stesen minyak tersebut.
Serangan pada Sabtu disusuli beberapa serangan lain pada waktu malam di Kharkiv dan sebuah kampung di timur ibu kota wilayah itu.
Pihak berkuasa Ukraine berkata Rusia telah melancarkan 31 serangan dron semalaman di timur Kharkiv dan wilayah selatan Odesa serta 23 daripadanya telah ditembak jatuh.
Sementara itu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyeru Eropah untuk meningkatkan pengeluaran senjatanya untuk menyokong Ukraine dan mencegah konfrontasi beberapa dekad dengan Moscow, menjelang Mesyuarat Menteri Pertahanan di Brussels dan ulang tahun kedua perang.
Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg menegaskan keperluan menyusun semula dan mengembangkan pangkalan dengan lebih cepat untuk meningkatkan penghantaran senjata ke Ukraine.-AFP