fb fb fb fb fb

29 orang awam terbunuh dalam serangan Israel di Gaza

Foto AFP

GAZA,10 Februari- Sekurang-kurangnya 29 orang awam terkorban dalam serangan udara Israel hari ini yang menyasarkan bahagian tengah dan selatan Gaza, ketika pencerobohan kejam Israel ke atas Gaza memasuki hari ke-127.

Memetik laporan agensi berita Palestin, WAFA, sumber kesihatan memberitahu kebanyakan mangsa jenayah Israel adalah kanak-kanak dan wanita.

Pesawat Israel melancarkan serangan ke atas beberapa rumah di Rafah, selatan Gaza menyebabkan 25 nyawa penduduk Palestin terkorban.

Selain itu, Israel turut menyasarkan pantai Deir al-Balah di tengah Gaza dan mengakibatkan kematian seorang nelayan dan kecederaan pada yang lain. Sementara, tiga orang awam dilaporkan terbunuh akibat serangan udara Israel yang menyasarkan kenderaan di barat bandar Rafah.

Konflik berterusan Palestin-Israel pada Oktober tahun lalu telah mengakibatkan hampir 28,000 nyawa terkorban, selain lebih 67,000 orang mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, beribu-ribu orang awam masih berada di bawah runtuhan dan di jalan raya, kerana pasukan tentera Israel menghalang ambulans dan pasukan penyelamat memberi bantuan kepada penduduk Palestin.

ROSLINA BINTI DIN